Siaran Akhbar dan Foto : Imagine Sendirian Berhad
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 13 Jun. - Imagine Sendirian Berhad dengan kerjasama Kementerian Kesihatan hari ini melancarkan Kempen Derma Darah Sedunia 2025 berlangsung di Dewan Al-'Afiah, mengukuhkan komitmen mendalam terhadap kesihatan negara dan tanggungjawab sosial.
Dengan bertemakan ''Derma Darah, Beri Harapan : Bersama Kita Membantu Menyelamatkan Nyawa', kempen ini menerima sambutan yang menggalakkan, dengan sebanyak 194 pain darah berjaya dikumpulkan pada hari pertama.
Berangkat pada Kempen Derma Darah tersebut ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman yang juga berkenan menyertai kempen menderma darah.
Juga hadir, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar serta pegawai kanan kementerian.
Turut hadir ialah Pengerusi Imagine Sdn. Bhd., Dayang Noorsurainah binti Haji Tengah dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Imagine Sdn. Bhd, Allen On Hsien Yung antara lain menyuarakan komitmen berterusan Imagine terhadap inisiatif berfokuskan kesihatan dan penglibatan masyarakat yang bermakna.
Imagine menyasarkan untuk mengumpul sebanyak 1,500 pain darah menjelang akhir tahun 2025, setelah berjaya mengumpulkan 564 pain melalui kempen-kempen terdahulu.
Usaha berterusan ini mencerminkan misi menyeluruh Imagine untuk menyokong Negara Brunei Darussalam yang lebih sihat - bukan hanya melalui inovasi digital, tetapi juga melalui tindakan sosial yang menyatukan dan memperkasa masyarakat.
Majlis ini turut diserikan lagi dengan sumbangan para penaja dan penyertaan vendor, yang menyumbang kepada suasana yang meriah dan mesra untuk para penderma, sukarelawan dan pengunjung.
Kempen ini akan diteruskan pada 14 Jun 2025, bermula jam 8.30 pagi hingga 4.00 petang di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan dan akan menampilkan Majlis Penyampaian Anugerah 10 Penderma Tetap Terbaik bagi menghargai individu yang sentiasa menyokong bekalan darah negara.
Imagine mengalu-alukan orang ramai untuk turut serta dalam inisiatif menyelamatkan nyawa ini. Para penderma juga akan menikmati tawaran eksklusif bagi telefon bimbit dan aksesori, dan lima penderma bertuah akan memenangi hadiah setiap hari sepanjang kempen ini berlangsung.
Untuk maklumat terkini mengenai kempen derma darah akan datang dan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), ikuti '@imagine.bn' di media sosial atau layari 'www.imagine.com.bn'.